Popular Product Invention - Johnson & Johnson
Wednesday, 16 May 2012
Monday, 14 May 2012
Merawat baki Tali Pusat Bayi anda
Setelah bayi
anda dilahirkan, doktor anda akan menyepit dan memotong tali pusat bayi anda.
Bayi anda tidak akan terasa sakit apabila ini dilakukan. Di tempat tali pusat
melekat ke perut, terdapat baki atau tunggul yang tertinggal sepanjang 2cm ke
3cm. Baca seterusnya tentang bagaimana menjaga baki atau tunggul tali pusat
dengan bersih dan bebas dari infeksi.
Baki tali pusat
bayi anda akan gugur lebih kurang seminggu selepas kelahiran. Apabila dia
dilahirkan doktor anda akan menyemat tunggul itu dengan penyepit plastik atau
mengikatnya. Doktor anda akan menanggalkan ikatan selepas sehari dua, apabila
tunggul itu kering dan tertutup. Tunggul itu akan mengecut, menjadi hitam
dan gugur. Akan terdapat luka kecil yang akan pulih dan menjadi pusat bayi
anda.
Anda perlu
memastikan baki tali pusat bayi anda itu bersih dan kering untuk mencegah
jangkitan. Anda boleh melakukan ini dengan memandikan bayi anda
dari atas ke bawah dengan flanel suam basah. Tidak menjadi masalah jika tunggul
itu terkena air. Ini tidak akan melambatkan pemulihan atau memudahkan lagi
kebarangkalian infeksi. Anda boleh mencuci tunggul bayi dengan air biasa,
atau dengan sabun lembut tanpa wangian atau sedikit pencuci bayi pH neutral
yang dicampurkan kepada air mandi. Selepas dimandi atau dicuci, tepuk-tepukkan
tunggul itu dengan tuala atau kain lembut. Pastikan bayi anda tidak sejuk dan
biarkan tunggul kering dengan baik sebelum memakaikan lampin.
Anda tak perlu
menggunakan antiseptik untuk baki tali pusat itu. Cukup setakat memastikan
ianya bersih. Menggunakan antiseptik bermakna tunggul itu akan mengambil lebih
lama masa untuk menanggal. Walau bagaimanapun, jika bayi anda dilahirkan pramatang atau
telah menghabiskan masa di bawah rawatan khusus, elok juga dipastikan tunggul
dicuci bersih dengan antiseptik. Bayi tidak akan mandi untuk beberapa lama
lagi. Kakitangan di unit neonatal akan menasihati anda
tentang bagaimana menjaga bayi dan memastikan dia bersih.
Berikut adalah
beberapa lagi tip yang boleh ikuti untuk merawat tunggul bayi anda :
- Pastikan anda mencuci tangan, sebelum dan selepas pertukaran lampin dan cucian.
- Biarkan tunggul itu gugur dengan sendirinya. Jangan tarik ia.
- Jangan biarkan tunggul itu bergelimun air kencing atau najis. Anda boleh lakukan ini dengan melipat pinggang lampin bayi ke bawah. Ini akan membiarkan tunggul itu terdedah kepada udara atau ditutup oleh baju yang longgar dan bersih. Setengah lampin mempunyai lubang di depan untuk membiarkan tunggul itu terdedah.
- Jika tunggul itu terkena air kencing atau najis, basuh rapi dengan pencuci bayi pH neutral.
Setelah tunggul
itu gugur, tunggu antara tujuh hingga 10 hari bagi tempat di kelilingnya pulih
sepenuhnya. Anda mungkin ternampak sedikit darah di lampin bayi anda. Ini
adalah normal.
Kadangkala baki
tali pusat itu mengambil lebih masa untuk pulih, dan cebisan daging berketul
akan muncul di tempat luka. Ini bukan sesuatu yang membimbangkan, dan ketulan
ini akan hilang dalam sedikit masa.
Adalah normal
bagi baki tali pusat kelihatan kotor semasa ia memulih, atau terdapat nanah di
bahagian bawah. Ini tidak bemakna ia telah dijangkiti. Walau
bagaimanapun, jika bayi anda mempunyai tanda-tanda yang berikut, ia bermakna
baki tali pusat itu telah berjangkit:
- Bayi anda mendapat demam panas, menjadi lesu, tidak mahu makan seperti biasa, atau kelihatan tidak sihat.
- Pusatnya dan kawasan sekeliling menjadi bengkak atau busuk atau berair.
Minta doktor
anda memeriksa baki tali pusat bayi anda jika risau tentang rupa dan
baunya.
Kadangkala,
tetapi jarang, baki tali pusat bayi memulih lebih lewat dari normal. Daging di
bahagian dalam tunggul itu kelihatan bersih tetapi masih tidak pulih dan terasa
sakit. Jika ini berlaku, minta doktor anda memeriksa tunggul itu.
Doktor anda
barangkali mahu menutupkan tunggul itu. Penutupan diberi nama pengkauterian. Ia
prosedur mudah. Doktor anda akan menggunakan batang kecil diberi nama batang
perak nitrat. Ia adalah prosedur biasa dan tidak akan menyakitkan bayi anda sama
sekali.

Dipetik dari : babycenter.com.my
Subscribe to:
Posts (Atom)